Belajar Huruf Al-Quran Secara Interaktif dan Online

Aplikasi ini amat mudah dikendalikan dan dapat membantu memperkembangkan lagi tahap penguasaan Iqra dari peringkat asas hinggalah ke tahap penguasaan yang tinggi. Disamping mengajar anak-anak kemahiran menggunakan komputer seawal usia.

Ibu Bapa Boleh Memantau Tahap Penguasaan Anak-anak

Memudahkan Ibu Bapa memantau dan mengetahui tahap penguasaan dan kemahiran anak-anak melalui pembelajaran Iqra secara online di rumah atau di mana-mana sahaja.

Kaedah Belajar Yang Berulang-ulang Tanpa Had Masa

Memberikan ruang dan masa yang lebih lama untuk belajar berbanding pembelajaran di pusat pengajian yang agak terbatas masa.

Al-Quran Mukjizat Teragung

TADARUS
Ramadan adalah bulan Al-Quran dan umat Islam perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca serta memperbaiki mutu bacaan mereka.


Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Bagaimana dikatakan al-Quran berjaya ‘membekas’ di dalam jiwa seseorang? Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia begitu hampir dengan mereka.

Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksa�an di neraka, hati mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah s.a.w lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah kebenaran.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah s.w.t selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.


Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu juga, Umar memeluk Islam.

Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah s.w.t
Allah berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah al-Hijr, ayat 9).

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran.

Bagi mereka yang meng�amalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya akan rasa bahagia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.” (Surah al-Israk ayat 9).

Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan ja�ngan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan dan hanya menjadi perhiasan di rumah.

Manusia yang sering dibe�lenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat kekuatan, semangat, kesena�ngan serta ketenangan di jiwa.

Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada al-Quran.

Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga pasti ‘terpikat’ jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu baik sekali.

Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat Al-Quran sangat berkesan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah dengan adat kebiasaan.

“Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah s.w.t dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada tandingan sama sekali.

“Allah mengurniakan Nabi Muhammad mukjizat kandungan al-Quran yang tidak mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta,” katanya.

Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

“Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan �pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab lain. Ringkasnya,� al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran adalah firman Allah dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.

“Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: “Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

“Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya,” katanya.

Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad dan umatnya semata-mata.

“Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.

“Justeru, Rasulullah menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan �al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

“Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Tirmizi).

“Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

“Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.

Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.

“Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

“Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji dan menyelidik).

“AyatAllah bersifat semasa dan sesuai dalam semua �kehidupan. Kisah yang �dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing.

“Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda masyarakat masa kini.

“Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.

“Selain itu, ulang kaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media elektronik,” katanya.

Membudayakan Al-Quran Dalam Kehidupan Seharian

Khutbah Jumaat: Membudayakan Al-Quran Dalam Kehidupan Seharian

Pengarang: Nurhelmi B. Hj. Ikhsan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah S.W.T. semoga kita akan sentiasa mendapat barokah dan rahmat daripadaNya. Al-Quran merupakan kitab dan Kalam Allah yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W. melalui malaikat Jibril A.S. dalam bahasa arab yang menjadi pegangan dan panduan bagi kita umat Islam. Seperti yang telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. Al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, penawar, peringatan dan nur yang memandu umat manusia daripada kegelapan kepada cahaya keimanan dan tauhid.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya:
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah S.A.W.
(Riwayat Muslim)

Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan kemuncak perkembangan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan kepada manusia, yang mana tidak akan wujud sebuah kitab lain yang setanding dengan kesucian dan kemuliaannya hingga akhir zaman.

Al-Quran berfungsi untuk memenuhi keperluan dan penyelesaian segala masalah manusia, ianya diturunkan untuk kepentingan seluruh manusia tanpa mengira bangsa, budaya, warna kulit, masa dan tempat. Terkandung di dalamnya panduan untuk semua umat manusia yang mencakupi seluruh aspek kehidupan, termasuklah kerohanian seperti tauhid dan aqidah, akhlak seperti budi pekerti dan tingkah laku, perundangan dan peraturan serta panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kepentingan untuk mempelajari seterusnya membudayakan Al-Quran dalam kehidupan adalah suatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana kepentingan Al-Quran itu sendiri mempunyai hubung kait dengan kehidupan kita di muka bumi Allah ini. Al-Quran merupakan sumber yang paling asas dan terpenting bagi pembinaan syahsiah manusia melalui kepercayaan, pemikiran, perasaan, kejiwaan dan tindak tanduk sebagai individu dan anggota masyarakat.

Atas dasar itulah mempelajari Al-Quran tidak cukup sekadar dengan hanya boleh membacanya sahaja, tetapi mempunyai lima penekanan yang penting iaitu membaca, menulis, menghafaz, memahami dan menghayatinya melalui amalan dalam kehidupan seharian.

Dengan berpegang teguh kepada Al-Quran, umat Islam pernah mencapai dan mampu mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya. Umat Islam pernah menjadi contoh dan ikutan masyarakat lain di dunia, semata-mata mereka yakin dan berpegang teguh kepada Al-Quran. Begitulah hebatnya umat Islam yang berpedoman kepada Al-Quran dalam perkembangan sejarah dunia.

Kini kita sedar kelemahan umat Islam di abad ini, dan faktor utama kemundurannya adalah kerana kita tidak sanggup untuk mengamalkan prinsip-prinsip hidup majmuk seterusnya menghiasi peribadi kita seperti mana yang dianjurkan oleh Al-Quran kepada kita. Ia juga disebabkan kelemahan iman kita bagi mempercayai kemampuan Al-Quran di dalam mengatur satu bentuk masyarakat yang kita harap-harapkan. Malah dalam kebanyakan perkara umat Islam tidak lagi memberi ketulusan hati dan pernghormatan terhadap kalam Allah, ada di antara kita tidak mahu memandang Al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang sebenarnya.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ada ganjaran yang banyak.
(Al-Isra’ : 9)

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini, adalah menyedihkan. Dengan perkembangan ilmu yang pelbagai seperti sains dan teknologi, keghairahan kepada kemajuan kebendaan, telah melupakan kita terhadap kepentingan Al-Quran. Oleh itu, marilah kita renungkan satu keadaan yang lebih malang bagi umat Islam pada hari ini yang sangat jauh daripada Al-Quran. Ramai di antara saudara-saudara kita yang tidak tahu membaca Al-Quran, kitab yang sama-sama kita imani. Kejahilan ini bukan sahaja dikalangan anak-anak kita, malah golongan belia dan dewasa juga. Mereka lebih berminat dan mudah untuk mempelajari dan mengetahui bahasa asing tetapi tidak kepada bahasa arab iaitu bahasa Al-Quran, lebih-lebih lagi untuk memahami serta menghayati isi kandungannya. Kita asyik memandang ke timur dan ke barat, utara dan selatan tetapi kita tidak cuba memandang kepada Al-Quran secara bersungguh-sungguh untuk dihayati dalam kehidupan sehari-hari.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah S.W.T. menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. dengan misi utamanya adalah untuk membangunkan akhlak manusia. Membangun ertinya membina, membentuk dan meningkatkan akhlak manusia agar mendapat keredhaan Allah. Kesejagatan fungsi Al-Quran yang menjadi pencetus akhlak terpuji bukan sahaja kepada masyarakat Islam, bahkan untuk semua umat manusia seperti berilmu, beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Al-Quran tidak diturunkan sebagai perhiasan didinding rumah atau di rak-rak buku sahaja, bahkan ia wajib diperhiaskan pada peribadi dan jiwa setiap muslim. Malah lebih jauh daripada itu, Al-Quran tidak diturunkan kepada mereka yang sakit dan yang telah meninggal dunia bahkan lebih penting untuk mereka yang masih hidup dan sihat tetapi berpenyakit jiwa, kufur dan tidak beriman.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Dan kami turunkan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.
(Al-Isra’ : 82)

Lantaran daripada itu, kita umat Islam pada hari ini menghadapi satu dilema yang besar iaitu kita tidak mahu suatu hari nanti akan lahirnya generasi muslim yang buta Al-Quran. Apa yang kita harapkan kini agar semua pihak dapat bersama-sama membuka mata dan mengambil inisiatif demi menyelamatkan generasi masa hadapan kita, kita telah berjaya menganjurkan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat dan kita juga perlu mengadakan kempen membasmi buta Al-Quran dan pelbagai langkah lagi yang difikirkan sesuai ke arah mengembalikan keagungan Al-Quran pada tempat yang sewajarnya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Dalam era pembangunan masa kini, umat Islam amat perlu menjadikan nilai-nilai murni sebagai wadah keluhuran akhlak. Jika akhlak sudah mula sebati dalam kehidupan dan jiwa masyarakat, penyakit sosial seperti yang berlaku pada hari ini dapat dihindarkan. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman agar hidup kita bahagia di dunia dan di akhirat.