Khutbah Jumaat: Membudayakan Al-Quran Dalam Kehidupan Seharian
Pengarang: Nurhelmi B. Hj. Ikhsan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah S.W.T. semoga kita akan sentiasa mendapat barokah dan rahmat daripadaNya. Al-Quran merupakan kitab dan Kalam Allah yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W. melalui malaikat Jibril A.S. dalam bahasa arab yang menjadi pegangan dan panduan bagi kita umat Islam. Seperti yang telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. Al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, penawar, peringatan dan nur yang memandu umat manusia daripada kegelapan kepada cahaya keimanan dan tauhid.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya:
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah S.A.W.(Riwayat Muslim)
Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan kemuncak perkembangan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan kepada manusia, yang mana tidak akan wujud sebuah kitab lain yang setanding dengan kesucian dan kemuliaannya hingga akhir zaman.
Al-Quran berfungsi untuk memenuhi keperluan dan penyelesaian segala masalah manusia, ianya diturunkan untuk kepentingan seluruh manusia tanpa mengira bangsa, budaya, warna kulit, masa dan tempat. Terkandung di dalamnya panduan untuk semua umat manusia yang mencakupi seluruh aspek kehidupan, termasuklah kerohanian seperti tauhid dan aqidah, akhlak seperti budi pekerti dan tingkah laku, perundangan dan peraturan serta panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kepentingan untuk mempelajari seterusnya membudayakan Al-Quran dalam kehidupan adalah suatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana kepentingan Al-Quran itu sendiri mempunyai hubung kait dengan kehidupan kita di muka bumi Allah ini. Al-Quran merupakan sumber yang paling asas dan terpenting bagi pembinaan syahsiah manusia melalui kepercayaan, pemikiran, perasaan, kejiwaan dan tindak tanduk sebagai individu dan anggota masyarakat.
Atas dasar itulah mempelajari Al-Quran tidak cukup sekadar dengan hanya boleh membacanya sahaja, tetapi mempunyai lima penekanan yang penting iaitu membaca, menulis, menghafaz, memahami dan menghayatinya melalui amalan dalam kehidupan seharian.
Dengan berpegang teguh kepada Al-Quran, umat Islam pernah mencapai dan mampu mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya. Umat Islam pernah menjadi contoh dan ikutan masyarakat lain di dunia, semata-mata mereka yakin dan berpegang teguh kepada Al-Quran. Begitulah hebatnya umat Islam yang berpedoman kepada Al-Quran dalam perkembangan sejarah dunia.
Kini kita sedar kelemahan umat Islam di abad ini, dan faktor utama kemundurannya adalah kerana kita tidak sanggup untuk mengamalkan prinsip-prinsip hidup majmuk seterusnya menghiasi peribadi kita seperti mana yang dianjurkan oleh Al-Quran kepada kita. Ia juga disebabkan kelemahan iman kita bagi mempercayai kemampuan Al-Quran di dalam mengatur satu bentuk masyarakat yang kita harap-harapkan. Malah dalam kebanyakan perkara umat Islam tidak lagi memberi ketulusan hati dan pernghormatan terhadap kalam Allah, ada di antara kita tidak mahu memandang Al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang sebenarnya.
Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ada ganjaran yang banyak.(Al-Isra’ : 9)
Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini, adalah menyedihkan. Dengan perkembangan ilmu yang pelbagai seperti sains dan teknologi, keghairahan kepada kemajuan kebendaan, telah melupakan kita terhadap kepentingan Al-Quran. Oleh itu, marilah kita renungkan satu keadaan yang lebih malang bagi umat Islam pada hari ini yang sangat jauh daripada Al-Quran. Ramai di antara saudara-saudara kita yang tidak tahu membaca Al-Quran, kitab yang sama-sama kita imani. Kejahilan ini bukan sahaja dikalangan anak-anak kita, malah golongan belia dan dewasa juga. Mereka lebih berminat dan mudah untuk mempelajari dan mengetahui bahasa asing tetapi tidak kepada bahasa arab iaitu bahasa Al-Quran, lebih-lebih lagi untuk memahami serta menghayati isi kandungannya. Kita asyik memandang ke timur dan ke barat, utara dan selatan tetapi kita tidak cuba memandang kepada Al-Quran secara bersungguh-sungguh untuk dihayati dalam kehidupan sehari-hari.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T. menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. dengan misi utamanya adalah untuk membangunkan akhlak manusia. Membangun ertinya membina, membentuk dan meningkatkan akhlak manusia agar mendapat keredhaan Allah. Kesejagatan fungsi Al-Quran yang menjadi pencetus akhlak terpuji bukan sahaja kepada masyarakat Islam, bahkan untuk semua umat manusia seperti berilmu, beriman, bertakwa dan beramal soleh.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Al-Quran tidak diturunkan sebagai perhiasan didinding rumah atau di rak-rak buku sahaja, bahkan ia wajib diperhiaskan pada peribadi dan jiwa setiap muslim. Malah lebih jauh daripada itu, Al-Quran tidak diturunkan kepada mereka yang sakit dan yang telah meninggal dunia bahkan lebih penting untuk mereka yang masih hidup dan sihat tetapi berpenyakit jiwa, kufur dan tidak beriman.
Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Dan kami turunkan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.(Al-Isra’ : 82)
Lantaran daripada itu, kita umat Islam pada hari ini menghadapi satu dilema yang besar iaitu kita tidak mahu suatu hari nanti akan lahirnya generasi muslim yang buta Al-Quran. Apa yang kita harapkan kini agar semua pihak dapat bersama-sama membuka mata dan mengambil inisiatif demi menyelamatkan generasi masa hadapan kita, kita telah berjaya menganjurkan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat dan kita juga perlu mengadakan kempen membasmi buta Al-Quran dan pelbagai langkah lagi yang difikirkan sesuai ke arah mengembalikan keagungan Al-Quran pada tempat yang sewajarnya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Dalam era pembangunan masa kini, umat Islam amat perlu menjadikan nilai-nilai murni sebagai wadah keluhuran akhlak. Jika akhlak sudah mula sebati dalam kehidupan dan jiwa masyarakat, penyakit sosial seperti yang berlaku pada hari ini dapat dihindarkan. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman agar hidup kita bahagia di dunia dan di akhirat.





